Monday, September 6, 2010

Semoga senyuman ini berpanjangan hendaknya

Salam Sayang dari saya buat semua.

Salam Rindu buat teman-teman seperjuangan.

*mode: sangat-sangat teruja


Lihat, telah 4 hari berlalu tanpa sebarang update di atas kanvas penulisan ini, sekali lagi. Aduhai, masakan saya sendiri tidak perasan. Masih belum menulis dan mencoret dalam diari harian saya ini. Keterujaan berada di rumah bersama ahli keluarga membataskan saya untuk memperbaharui status cerita perjalanan sebuah hidup yang bermakna ini.


  • 3 September 2010
Tepat jam 4.00 petang saya mengusung beg balik kampung yang agak berat dan berjalan dari Mahallah Ruqayyah ke stesen bas yang terletak berhadapan dengan bangunan INSTED. Matahari sangat terik dan kulit seakan terbakar perlahan-lahan. Sungguh, sewaktu perjalanan ke stesen bas, saya sangat letih. Hati sempat berbisik, "Ada baiknya jika aku menaiki skuter hingga ke stesen bas tu".Tapi skuter itu lebih selamat jika saya tinggalkan di Mahallah Ruqayyah. Kawalan oleh security agak ketat. Lantas, saya menapak lemah.


Tiba-tiba sebuah kereta proton saga berwarna hijau muda memperlahankan kelajuan dan pemandunya yang manis menyapa saya. "Mari saya tumpangkan sampai depan sana". Alhamdulillah, kesempatan dan peluang yang Allah datangkan buat saya tika saya amat memerlukan. *terima kasih buat Sis. Nora*

Tersenyum Kali Pertama.

Perjalanan diteruskan sehingga saya tiba di KL Sentral. Menaiki KTM hingga ke stesen berikutnya, Mid Valley. Selang 5 minit kemudian, cinta hati saya tiba. Bersama menemani saya untuk pulang ke rumah dan berbuka puasa bersama keluarga saya. Diberi mandat penuh untuk menjaga saya.

Tersenyum Kali Kedua.


  • 4 September 2010
Hari bermula dengan agak sedih. Saya sepatutnya menghadiri Majlis Berbuka Puasa dengan teman-teman lama dari sekolah rendah saya. Malam semalam saya bertanyakan buat kali kedua kepada ayah. Untuk kepastian. Kali ini jawapannya mengejutkan saya. "Pergi lain kali saja lah". Berderau darah dan kecundang menahan sebak, saya menangis. Sepanjang hari saya tutup handphone. Saya tahu, mereka pasti bertanya tentang ketidakhadiran saya tanpa sebarang pemberitahuan. Mereka mesti marah. Apa saya boleh buat, saya lebih sedih. Namun, memandangkan pasti ada hikmah disebalik larangan tersebut, saya akur. Dalam kepatuhan itu, pernah segugus dua air mata yang jatuh. Saya belajar redha.

Tepat jam 11 pagi, saya sekeluarga pergi ke Seremban. Kawasan dituju; Jaya Jusco, Casa Moda, Parkson & semua kedai kasut dalam Terminal One. Hoho..shopping untuk raya.

Dengan keadaan mood yang kurang stabil, saya cuba memujuk diri. Tiada satu pun barang yang saya beli untuk diri saya. Melainkan sepasang kasut tumit tinggi yang sempat saya capai sebelum berangkat pulang. *saya letak atas kaunter diam-diam, ayah yang bayar*.

Monolog saya: Teringin juga nak pakai kasut ni. Letak saja lah atas kaunter. Hoho.
Monolog ayah: Tadi macam taknak beli apa-apa. Last-last aku yang kena bayar kasut dia.


Saya senyum-senyum sambil pandang tempat lain. Ayah garu-garu kepala sambil keluarkan duit. Dapat juga saya pakai kasut 3 inci raya kali ini. Terima kasih ayah.

Tersenyum Kali Ketiga.

Selesai membeli-belah, kami pulang semula ke Sepang. Hujan renyai-renyai membuatkan saya mengantuk. Terlena seketika. Setelah sampai di perkarangan rumah, saya sempat mengerling jam tangan. Sudah pukul 6 petang. Mana sempat nak masak? Tiba-tiba ayah bersuara, "Jam 6.30 petang semua dah siap ye?". Saya terkebil-kebil. Cuba menangkap maksud.

6.30 petang. Tika renyai hujan masih lagi belum berhenti. Kami bertolak ke sebuah tempat yang dirahsiakan. Saya cuba meneka, tetapi gagal. Mata saya tiba-tiba tidak berkedip. Mulut ternganga sedikit. Ayah meletakkan kenderaan kami berhadapan Hotel Empress, Sepang.


Petang itu, kami sekeluarga berbuka puasa di sana, atas jemputan rakan-rakan pegawai ayah. Perut terisi kenyang, jiwa terisi bahagia, hati terisi kenangan. Saya kembali ceria. Benar ada hikmah disebalik semua perkara.

Tersenyum Kali Keempat.

  • 5 September 2010
Sekali lagi bersama keluarga ke Mydin Kota Seriemas, Nilai. Membeli belah untuk barangan dapur pula kali ini. Semuanya seperti biasa. Cuma kami terserempak dengan Munir, pelakon dan penyanyi suatu ketika dulu. Apa yang membuatkan saya ketawa ketika sedang memilih bawang merah ialah ayah menyapa Munir dengan selamba. Berbual-bual macamlah dah kenal lama. Muka ayah biasa saja, muka Munir yang terpinga-pinga. Macam ada tanda tanya, aku kenal dia ke? Saya ketawa sendiri. Nak pilih bawang pun tak jadi.

Saya selesai memilih bawang. Mata mengintai ke dalam troli. Ada lampu kelip-kelip idaman saya. Ibu mahu beli satu sahaja. Ayah mahu dua. Jadi ada dua set lampu kelip-kelip. Satu yang biasa saja dan satu lagi yang ada muzik Hari Raya.

Petang itu juga, sambil menyiapkan menu buka puasa (bihun sup), saya membantu ayah memaku dinding dan menggantung lampu kelip-kelip idaman saya.


Tersenyum Kali Kelima.
*baru saya sedar, senyum itu satu nikmat*
*pinjaman Allah buat hamba-hambaNya*
*supaya merasai kebahagiaan dan kembali kepada fitrah*
*Allah itu Raja*
*pemilik segala rasa dan cinta*

0 comment: